Isnin, 9 Mac 2009

Yaumul Maulidur Rasul

Jangan lupa perbanyakkan selawat sempena memperingati jasa serta pengorbanan Baginda dalam mensyiarkan ugama Islam, kerana berselawat adalah merupakan doa dan sanjungan kita terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ahzab ayat 56 yang tafsirannya:"Sesungguhnya Allah dan Malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alahi Wasallam, wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan menghormatinya yang sepenuhnya.
"Oleh itu perbanyakkanlah berselawat keatas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kerana amalan berselawat tidaklah terhad pada waktu, bulan atau musim tertentu sahaja. Maka amalkanlah berselawat ini kerana amalan selawat banyak fadilat dan kelebihannya, sebagaimana maksud hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, daripada Anas bin Malik Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Sesiapa membaca selawat kepadaku sekali, maka Allah melimpahkan kepadanya sepuluh rahmat dan dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan serta Allah mengangkat sepuluh darjat." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari, An-Nasaie, Ahmad dan Al-Hakim).
Adapun berselawat ini banyak fadilat dan kelebihannya, antaranya:-Boleh menyelamatkan pengamalnya dari segala sesuatu yang tidak diingini dan boleh menyampaikan hajat yang dipohonkan, sebagaimana maksud hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, daripada Umar bin Al-Khattab Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya doa itu tertahan di antara langit dan bumi, tidak dapat naik sedikit pun daripada itu, sampai ia mengucapkan selawat kepada Nabimu (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam)." (Hadis riwayat Al-Imam At-Tarmizi).-Membersihkan hati dan melapangkan fikiran atau kesempitan yang dihadapi oleh pengamalnya dalam menjalani kehidupan seharian.-Selawat juga boleh menjadikan kita sihat sejahtera dan dijauhi dari segala malapetaka dan dapat menyembuhkan segala penyakit dengan izin Allah Subhanahu Wataala.-Selawat dapat meluaskan dan memberkati rezeki pengamalnya.Akhirnya, marilah kita sama-sama sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wataala dan jasa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan memperbanyakkan selawat atas Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengikuti majlis-majlis keagamaan dan menyertai perarakan 'Maulud Nabi', sebagai tanda memperingati hari kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan tanda kesyukuran serta kasih kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kekasih Allah dan kesayangan kita. Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat Allah Subhanahu Wataala dan syafaat Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat. � Amin Yarabbalalamin.Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-A'raaf ayat 158 yang tafsirannya:"Katakanlah wahai Muhammad: Wahai sekalian manusia sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, diutus oleh Allah yang menguasai langit dan bumi. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia. Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia supaya kamu beroleh hidayat petunjuk."

~ Dipetik : http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=87

0 ulasan: